.::Disebalik airmata Wanita::.  

Posted by: kelembutanku



"Suatu ketika, seorang anak bertanya kepada ibunya, “Ibu, mengapa ibu menangis?” Ibunya menjawab, “Sebab ibu adalah perempuan, nak.” “Saya tak mengerti ibu,” kata si anak. Ibunya hanya tersenyum dan memeluknya erat. “Nak, kau memang tak akan mengerti…”

Kemudian si anak bertanya kepada ayahnya. “Ayah, mengapa ibu menangis?” “Ibumu menangis tanpa sebab yang jelas.” sang ayah menjawab. “Semua perempuan memang sering menangis tanpa alasan.”

Si anak membesar menjadi remaja, dan dia tetap terus bertanya-tanya, mengapa perempuan menangis? Hingga pada suatu malam, ia bermimpi dan bertanya kepada Tuhan, “Ya Allah, mengapa perempuan mudah menangis?” Dalam mimpinya ia merasa seolah mendengar jawapannya:




“Saat Ku ciptakan wanita, saya membuatnya menjadi sangat utama. Kuciptakan bahunya, agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya, walaupun juga bahu itu harus cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tertidur.

“Kuberikan wanita kekuatan untuk dapat melahirkan bayi dari rahimnya, walau kerap berulangkali menerima cerca dari si bayi itu apabila ia telah membesar.

“Kuberikan keperkasaan yang akan membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah saat semua orang sudah putus asa.

“Ku berikan kesabaran jiwa untuk merawat keluarganya walau dia sendiri letih, walau sakit, walau penat, tanpa berkeluh kesah.

“Kuberikan wanita perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya dalam kondisi dan situasi apapun. Walau acapkali anak-anaknya itu melukai perasaan dan hatinya. Perasaan ini pula yang akan memberikan kehangatan pada anak-anak yang mengantuk menahan lelap. Sentuhan inilah yang akan memberikan kenyamanan saat didekap dengan lembut olehnya.

“Kuberikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya melalui masa-masa sulit dan menjadi pelindung baginya. Sebab bukannya tulang rusuk yang melindungi setiap hati dan jantung agar tak terkoyak.

“Kuberikan kepadanya kebijaksanaan dan kemampuan untuk memberikan pengertian dan menyedarkan bahwa suami yang baik adalah yang tak pernah melukai isterinya. Walau seringkali pula kebijaksanaan itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap berdiri sejajar, saling melengkapi dan saling menyayangi.

“Dan akhirnya, Kuberikan ia air mata, agar dapat mencurahkan perasaannya. Inilah yang khusus kepada wanita, agar dapat ia gunakan bila masa pun ia inginkan. Ini bukan kelemahan bagi wanita, kerana sebenarnya air mata ini adalah “air mata kehidupan.”

bersyukurlah dilahirkan sebagai wanita...
tambahlah bersyukur dilahirkan sebagai wanita Muslimah..."


.::Duhai Wanita::.  

Posted by: kelembutanku

Bengkoknya Wanita


"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."


"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"

"Staff aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu."

"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."

"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok*? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."

"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."

"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"

"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik."

"Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada "sayap kiri" kepada masyarakat. Beliau ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."

"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."

"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara `protes` tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. "Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih`bengkok` daripada mereka!"

"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."

"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."

"Apa maksud sebenar Hadis tu?"

"Orang perempun yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu "penyempurnaan" . Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung`. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu."

"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"

"Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok` itu ialah sifat `rahmah`. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan. "

"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat."

"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."

"Hmm, betul tu Naim."

"Sebenarnya tiada siapa yang `bengkok` mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."

"Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar."

"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok` daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok` daripada semua orang lain di muka bumi ini... "



*Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)


.::Jujur dalam Bergurau Senda::.  

Posted by: kelembutanku

~Jujur dalam Bergurau Senda~


Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling. Tujuannya hanya satu; untuk gembira dan ceriakan suasana. Takkan kita nak serius sepanjang masa, betul tak?

Tapi, sedarkah kita, ketika bergurau senda, kita mungkin dah berbohong? Kita mungkin tak berniat untuk betul-betul bercakap bohong, tapi hanya sekadar cakap main-main; atau kata orang sekadar mengacah saja.

Soalnya, betul ke kita tak boleh menipu walaupun dengan hanya niat untuk bergurau? Nama pun gurauan, jadi kita bukan berniat untuk betul-betul menipu, hanya sekadar main-main dan tak memudharatkan sesiapa. Dan biasanya, kita mesti akan cakap, “Aku main-main je la…” “Aku tipu engkau je tadi. Saja nak tengok macam mana reaksi engkau.”

Kalau diikutkan logik akal pendek kita, mungkin pandangan tu nampak macam betul. Tapi, mari kita teliti sabda Rasulullah S.A.W. :

“Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta." [1]

“Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa, lalu dia berdusta. Celakalah untuknya. Celakalah untuknya.” [2]

Apa pun tujuan kita, pendustaan sesekali tidak dibenarkan walaupun hanya untuk bergurau dan berjenaka. Islam mengharuskan gurau senda, keceriaan dan hiburan jiwa, tetapi Islam tidak membenarkan pembohongan, walaupun hanya untuk bergurau semata-mata. Jadi, kalau nak bergurau, pastikan gurauan kita tak ada unsur-unsur penipuan dan pendustaan. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya:

“Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” [3]


Macam mana cara yang betul untuk bergurau?

Mari kita susuri sirah Nabi Muhammad S.A.W., bagaimana cara baginda bergurau senda dengan orang-orang di sekeliling baginda. Suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W., meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya. Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu, baginda bersabda:

“Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta.”

Padahal, pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau. Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nabi, dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh. Lalu, lelaki itu berkata,

“Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta? Kalau kamu berikan pada aku, tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja, sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang.”

Maka Rasulullah S.A.W. berkata,

“Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.” [4]

Lihat bagaimana cara Rasulullah S.A.W. menjaga adab-adab dalam bergurau senda. Baginda tidak sesekali menipu orang yang diajak bergurau, sebaliknya cara baginda ada ‘seninya’ yang tersendiri.

Apa yang dapat diperhatikan dalam kisah di atas, Rasulullah menggunakan kaedah “double meaning” dalam gurauan baginda, iaitu satu kalimah tetapi mempunyai ataupun boleh difahami dalam dua maksud dan keadaan yang berbeza.

Jadi, gurauan sebegitu akan mengelakkan kita daripada berbohong ketika bergurau. Sayyidina Umar r.a. pernah berkata:

“Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda (al-muzaah) dengan kata-kata al-muzaah?” (maksud asal al-muzaah: alih).

Mereka itu menjawab: “Tidak!”

Maka Umar r.a. menjawab:

“Kerana senda gurau (al-muzaah) itu, mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran.”

Jadi, berwaspadalah kita dalam setiap gurauan dan kata-kata kita. Setiap apa yang dituturkan oleh kita akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita di akhirat kelak. Gurau senda mampu menghiburkan jiwa dan boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim, tapi andai tidak kena caranya, gurau senda boleh melontarkan kita ke dalam azab neraka. Na'uzubillahi min dzalik.

.::Wanita Solehah,Wanita Fitnah::.  

Posted by: kelembutanku

Mulianya Wanita





Allah swt tidak menjadikan nabi di kalangan wanita. Tetapi Allah swt memuliakan wanita di dalam Al-quran dengan menamakan surah -an nisa’-.
Manusia yang pertama beriman kepada Allah swt selepas Rasulullah saw ialah wanita -Khadijah r.anha-.
Manusia pertama yang syahid kerana agama Allah juga adalah wanita - Sumayyah r.anha-.
Dan Allah juga mengangkat perbuatan Siti Hajar r.anha yang juga seorang wanita yang berlari-lari antara Safa dan Marwah di dalam rukun haji, iaitu saie.
Wanita adalah yang paling mudah memasuki syurga tetapi wanita jugalah yang paling ramai menjadi penghuni neraka. Sabda nabi yang mafhumnya, “Wanita yang solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mentaati suaminya, maka masuklah dia ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya”.

Masya Allah, senang bunyinya. Tapi hakikatnya tidaklah semudah itu. Jika kita lihat bagaimana pengorbanan Siti Khadijah r.anha, tentunya kita takkan dapat tiru apa yang beliau telah lakukan. Sebelum memeluk Islam dan menjadi isteri Rasulullah saw, beliau ialah seorang hartawan, peniaga yang mashyur dan terkenal. Tetapi sebaik sahaja beliau beriman kepada Allah, seluruh hartanya diinfaqkan(dibelanjakan) ke jalan Allah swt. Sehinggakan di akhir hayatnya, ketika di pangkuan Rasulullah saw, katanya “Ya Rasulullah, jika tulang belulangku ini dapat dijadikan jambatan untuk keluar ke jalan Allah, maka ambillah. Aku redha ya Rasulullah”.
Begitu juga kisah Sumayyah r.anha yang semua ahli keluarganya habis di bunuh oleh pembesar kafir Quraisy. Iman di dadanya sedikitpun tidak goyah hatta nyawanya menjadi korban kerana dia yakin, syurga Allah telah menantinya. Kesabaran dan ketaatan Siti Hajar r.anha kepada suaminya dan iman yang kental terhadap tuhannya, membuatkan beliau tidak sedikit pun gentar ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang panas, yang tiada asbab untuk hidup bersama bayinya Nabi Ismail a.s yang masih merah. Tetapi Allah maha besar, setiap hamba yang taat kepadaNya akan dibalas dengan kebaikan. Dari hentakan kaki nabi Ismail a.s, maka terpancutlah air zam-zam yang Allah janji tidak akan kering sehingga hari Kiamat.



Allahu Akbar!. Betapa besarnya pengorbanan para sahabiah r.anha ketika itu. Sanggup kehilangan harta, suami, anak-anak demi agama Allah swt. Kerana mereka yakin dengan janji Allah swt, Allah telah beli diri, harta dan masa orang mukmin dengan syurga Allah swt. Apa lagi yang kita harapkan jika Allah swt sendiri dah tawarkan syurgaNya untuk kita ? . But for sure, ada harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan ganjaran itu. Dan dunia ini adalah tempat untuk kita membuktikannya. Sabda Rasulullah saw yang mafhumnya , “Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”.

.::Aurat Wanita Dari Quran & Hadis::.  

Posted by: kelembutanku


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



1. Bulu kening
-Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)
-"Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian
-"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).

4. Dada
-"Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. " (An-Nur : 31)

5. Gigi
-'Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.' (Riwayat At-Thabrani)
-"Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah"(Riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: 'Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." (Riwayat Muslim dan Bukhari).

7. Tangan
-"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya"(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

8. Mata
-"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya." (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

9. Mulut (suara)
-"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik."( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, "Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." (Riwayat Ibn Majah).

10. Kemaluan
-"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. "(An Nur : 31).
-"Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." (Riwayat Al Bazzar).
-"Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).

11. Pakaian
-"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

-"Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ahzab : 59).

12. Rambut
-"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

.::Wanita::.  

Posted by: kelembutanku



Wanita perindu Allah dapat mengawal rindunya pada dunia, kekayaan, kemewahan, pembaziran, kecantikan dan segala isi dunia. Wanita ‘abidah perindu Allah dapat mengubah nafsunya daripada nafsu-nafsu jahat kepada nafsu-nafsu yang baik melalui mujahadah. Yakni daripada nafsu marah kepada memaafkan, dengki kepada kasih sayang dan. Maka jadilah wanita ‘abidah itu bagaikan tiang negara yang menyangga sesebuah negara daripada runtuh.

Sebab itu Rasulullah bersabda :
Untuk menjadi wanita ‘abidah, perindu Allah, tidak semudah menjadi wanita berkerjaya yang cuma dilatih akalnya. Sedangkan wanita ‘abidah perlukan didikan fizikal, mental dan jiwanya sekaligus. Mereka bukan sahaja diperkenalkan dengan dunia, tetapi juga dengan alam barzakh dan alam akhirat. Bahkan juga dikenalkan dengan Allah swt.

Dunia amat perlukan wanita yang tidak lagi menurutkan nafsunya tapi memusatkan perhatian dan rindunya kepada Zat yang paling hampir dengannya dan terus-menerus mengawasi hidupnya, Yakni Zat Allah SWT
Sembahyang yang dilakukan merupakan pertemuan dan penyerahan dirinya secara total kepada Allah. Ia dirasakan terlalu indah dan amat bermakna. Setiap ucapan dihayati dan dilafazkan dengan penuh kusyuk. Rukun-rukun fi’li dikerjakan dengan komitmen jiwa yang penuh kehambaan. Dan perilakunya sewatu mengadap Allah, seolah-olah takut dan hormat sekali. Maka hasil daripada ucapan dan perbuatan dalam sembahyang, wanita ‘abidah mendapat rasa tawadhuk, tawakkal, rendah diri, takut, cinta, yakin, rindu dan kagum kepada Allah kekasihnya. Itulah iman dan taqwa.

Orang yang berakhlak sahaja yang boleh bahagia tatkala ditimpa ujian. Tanpa akhlak, tidak akan ada seorang pun manusia yang dapat merasa bahagia hidup di dunia.
Kerana, hidup ini memang tidak akan lepas daripada ujian. Siapa yang tidak bahagia dunia nescaya tiada harapan untuk bahagia di akhirat.

Gabungan rasa-rasa itu mencetuskan akhlak yang sangat agung; sabar, redha, penyayang, pemaaf pemurah, rendah diri dan lain-lain lagi. Akhlak-akhlak yang mulia ini lebih mahal daripada sijil dan harta-harta duniawi, sebab ia dapat mncegah daripada perbuatan keji dan mungkar .

Bila seseorang itu kenal akhirat dan Allah, dunia ini menjadi kecil baginya. Hidupnya tidak lagi untuk memburu dunia tetapi memburu syurga di akhirat. Mereka tidak lagi merindukan kenikmatan sementara tetapi mengalihkan rindunya kepada Allah swt. Umur dihabiskan untuk beribadat kepada Allah. Apa juga kerja yang dibuat, semuanya untuk dan kerana Allah. Dan itulah yang Allah minta untuk kita lakukan. Firman Nya:
“Dunia ialah perhiasan. Sebaik-baik hiasan ialah wanita solehah.”

“ Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku, matiku adalah untuk Allah, Tuhan seru sekalian alam. ”